The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan Piala Sumbangsih | Johor Darul Ta'zim FC 3-0 Selangor FC

Aug 09, 2025 - FAS

Perlawanan Piala Sumbangsih 2025 merangkap Liga Super 2025/26 semalam di antara Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) FC berakhir dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Perlawanan yang mendebarkan di antara dua pasukan yang saling menjadi seteru yang hebat di dalam kancah bola sepak Malaysia. JDT  terlebih dahulu mendahului dengan jaringan pada minit pertama tetapi pasukan terus bangkit dan mempamerkan aksi yang baik, menidakkan percubaan-percubaan daripada pihak lawan sehingga tamat separuh masa pertama. Biarpun bolos dua gol di separuh masa kedua, pasukan berusaha keras mengurangkan jumlah bolos daripada bertambah.

Menurut Katsuhito Kinoshi, Ketua Jurulatih Selangor FC, beliau akur dengan kekalahan menentang JDT namun bangga dengan usaha keras para pemain.

“Pada minit pertama, kita hilang fokus dan bolos gol, semestinya sedikit sebanyak mengganggu rentak. Namun, selepas itu, kita berjaya melakukan serangan balas yang agak baik. Pemain terus kekal fokus dan berjuang sehabis baik sehingga tamat perlawanan, walaupun berakhir dengan keputusan 3-0. Saya lihat kita perlukan latihan yang lebih berkualiti bagi mempamerkan aksi yang lebih baik di dalam perlawanan seterusnya. Biarpun kalah tetapi saya tetap bangga dengan para pemain kerana mereka faham dan terjemahkan corak permainan yang saya mahukan dengan baik,” kata beliau

“Selain itu, ini merupakan pengalaman pertama bagi pemain-pemain baharu seperti Zach Clough, Kevin Deeromram dan Chrigor Moraes dalam saingan liga Malaysia. Walaupun apa yang mereka tunjukkan semalam bukan persembahan yang terbaik, saya percaya mereka akan bertambah baik dari masa ke semasa. Saya yakin mereka akan berikan persembahan yang lebih baik pada perlawanan seterusnya,” tambahnya lagi.

“Dalam masa yang sama, suasana bilik persalinan kekal kukuh di bawah kendalian kapten Faisal Halim biarpun kita tewas. Para pemain mempunyai ikatan yang baik sebagai satu pasukan. Mereka terus menunjuk keinginan yang jelas untuk memperbaiki diri masing-masing dan saya amat gembira dengan mentaliti serta komitmen mereka,” jelas Ketua Jurulatih Selangor FC.

Pihak pengurusan Selangor FC mahu pasukan pandang hadapan dan berikan yang terbaik untuk perlawanan seterusnya menentang Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC pada 12 Ogos 2025 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!